Salam buat semua. Mungkin ada yang tertunggu-tunggu posting ni. Minta maaf ya...sejak majlis hari tu pihak admin agak sibuk sikit. Baru hari ni dapat update blog.
Alhamdulillah Majlis Muhibbah syawal 1433H yang dirancang telah pun berjaya kita laksanakan pada 29 Ogos lalu. Seramai 65 orang ahli PeWaniS daerah Kudat dan tetamu jemputan telah hadir memeriahkan majlis itu di mana ianya melebihi angka 50 orang yang dianggarkan pada awalnya. Kehadiran ahli mungkin melebihi jumlah tersebut sekiranya jadual tidak bertembung dengan kelas tambahan yang sedang giat dijalankan di kebanyakan sekolah.
Majlis yang telah berlangsung di Hotel Ria, Kudat itu telah dihadiri oleh Tuan Sharif Sahar bin Sharif Ading, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kudat merangkap Ketua Penerangan Pemuda BN Negeri Sabah. Di samping itu, PeWaniS Daerah Kudat juga amat bertuah dengan kehadiran 'surprise' Datin Nurul Umayra Chong Abdullah, Pengerusi Induk PeWaniS yang juga merupakan isteri kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah.
Selain itu, antara tetamu yang hadir bersama dalam majlis itu termasuklah Penolong Pengarah JASA Pantai Barat Utara (PBU), En. Abdul Ajis @ Aziz Sindong, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kudat, En. Diman Hj. Awan (wakil PPD Kudat) dan Pengetua SMK Lok Yuk, En. Yap Kok Yam. Para ahli atau pembaca mungkin tertanya-tanya kenapa ramai pula tetamu lelaki yang hadir dalam majlis PeWaniS (Persatuan Wanita JPN Sabah) ni... Mr. Yap ni, boss kepada Penolong Setiausaha PeWaniS Kudat. Dalam perawakan serius beliau, supportive juga orangnya ni. Dalam Program Seikhlas Syawal hari tu pun, beliau turut memberi sedikit sumbangan peribadi. Sementara itu, dengan pihak JASA pula, InsyaAllah pada masa hadapan, PeWaniS Kudat akan menjalin kerjasama dengan mereka dalam pelaksanaan aktiviti.
Pada majlis tersebut, Tuan Sharif Sahar telah berbesar hati menyumbangkan RM1000.00 bagi membantu melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan PeWaniS Daerah Kudat. Pemimpin ini begitu memahami tujuan penubuhan PeWaniS dan aktiviti-aktivitinya memandangkan isteri beliau yang merupakan seorang guru juga adalah ahli dan Pengerusi PeWaniS Daerah Pitas. Di kesempatan itu, beliau telah merasmi dan melancarkan blog PeWaniS Daerah Kudat yang menjadi wadah perhubungan sesama ahli dan untuk mewar-warkan aktiviti PeWaniS kepada semua.
New Sabah Times - 6 September 2012 |